Thursday, October 17, 2013

Dato Azeez: Tabung Haji Kaji Guna Khidmat Pelajar Sebagai Pembimbing Jemaah Haji #AzeezRahim4MT


ALOR SETAR 16 Okt. - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sedang mengkaji untuk menggunakan khidmat pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Mekah dan Madinah sebagai pembimbing haji pada musim akan datang bagi mengurangkan jumlah kakitangan bertugas di sana.

 Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, langkah itu merupakan antara cara yang sedang diteliti untuk menambah bilangan jemaah haji ekoran jumlah kuota yang dikurangkan kerajaan Arab Saudi.


"Ini cadangan sahaja sebab kita kena tengok dan kaji dulu. Kita kena bincang dengan kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu untuk tengok macam mana undang-undang di sana. "Sekarang ini staf Tabung Haji sebanyak 1,800 orang bertugas di sana tetapi kebanyakannya doktor. Doktor dan petugas mengurus hal kewangan kita tidak boleh kurangkan.

 "Kita tengok kalau ada ruang, boleh bagi kepada pelajar. Kita bagi kursus kepada mereka dan saya percaya kalau dapat laksanakan, boleh tambah lagi kuota untuk jemaah antara 600 hingga 1,000 orang," katanya. Beliau kepada pemberita selepas melawat keluarga jemaah haji, Zolkisfali Wahab, 57, yang meninggal dunia di Tanah Suci di Taman Kelisa di sini hari ini.

 Menurut Abdul Azeez, pengurangan jumlah kakitangan Tabung Haji ke Tanah Suci juga bukan bermakna semua perkara berkaitan dengan urusan haji diserahkan kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana sahaja.

 "Kita tak boleh bagi semua tugas kepada pelajar sebab jika ada apa-apa hal terjadi, Tabung Haji yang akan disalahkan. "Kita kena jaga juga nama baik Tabung Haji yang telah 50 tahun kita cipta dan banyak negara menjadikan institusi itu sebagai contoh dalam menguruskan jemaah haji," jelasnya.

 Sementara itu, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, Zolkisfali merupakan jemaah haji ke-10 meninggal dunia di Tanah Suci. "Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 6.50 petang selepas mengerjakan wukuf di Arafah, Isnin lalu kerana mengalami masalah kencing manis dan komplikasi hati.

 "Allahyarham pergi ke sana dengan isterinya, Mariam Yaacob, 50. Pihak Tabung Haji telah mengarahkan dua petugas menemani isteri Allahyarham di Tanah Suci sehingga pulang ke tanah air," katanya.
 

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.