Saranan agar UMNO mewujudkan Majlis Ulama yang peranannya setaraf dengan sayap pergerakan lain dalam parti itu merupakan salah satu transformasi politik yang wajar serta perlu disegerakan.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, UMNO perlu melibat cadangan itu dengan serius kerana yakin penubuhannya bakal membawa manfaat.
Namun beliau berkata, jika Majlis Ulama UMNO menjadi kenyataan, badan itu bukan sahaja mesti berperanan seperti sayap tetapi perlu dipastikan bebas untuk memberi pandangan berdasarkan ilmu agama yang ada pada ahlinya.
"Saya sangat bersetuju jika Majlis Ulama ini dipercepatkan apatah lagi perlembagaan UMNO itu sendiri antara lain ialah memperjuangkan agama tetapi mesti bersifat bebas. Jangan dikawal suara mereka untuk bercakap.
"Majlis Ulama harus bebas untuk menyuarakan pandangan serta nasihat kepada parti mengikut ilmu agama yang ada pada mereka. Baru objektif itu tercapai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Badan Bertindak Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff agar sebuah Majlis Ulama UMNO ditubuhkan.
Sebelum ini, Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia, Dr. Fathul Bari Mat Jahya menyokong penuh cadangan agar UMNO diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama untuk bersama-sama parti itu demi masa depan Islam dan Melayu.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO perlu memberi fokus untuk memperkasakan biro agama yang sudah wujud dalam parti itu agar menjadi tempat rujukan utama pucuk pimpinan tertinggi parti.
Beliau yang juga Ketua Hubungan Kajian, Akademi Kajian Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) berkata, perkara itu seiring dengan peruntukan perlembagaan parti yang menegakkan syiar Islam melalui semangat yang dibawa sejak awal penubuhannya.
"Dalam hal ini, perkara seperti perjuangan Islam perlu dijelmakan kepada khalayak supaya rakyat lebih menghargai pendekatan yang dibawa UMNO sekali gus mampu melenturkan persepsi negatif bahawa parti ini menolak Islam.
"Ini satu fenomena yang perlu ditangani UMNO dengan membawa masuk lebih ramai golongan agama sebagaimana pernah dibarisi pemimpin-pemimpin terdahulu mempunyai latar belakang agama di semua peringkat," katanya.
Jelas beliau, usaha memperkasakan Islam perlu lebih serius dalam keadaan rakyat semakin hilang arah tanpa ditangani oleh parti yang memerintah negara.
Komentar KP : Cadangan yang dikemukan agar ditubuhkan Majlis Ulama UMNO itu sebenarnya sudah lama dikemukan tetapi seperti yang disebut oleh Dr. Asyraf Wajdi,fungsi biro agama dalam UMNO itu seharusnya diperkasakan dahulu agar apabila kelak ditubuhkan Majlis Ulama dalam UMNO ia sudah punya fungsi jelas dan hala tuju yang betul agar badan itu berfungsi sebagaimana yang digagaskan.Selain itu,kewajaran untuk memilih ulama-ulama yang benar-benar sohih dari segi akidah dan manhaj ahlus sunnah wal jamaah yang sebenar dan bebas dari pengaruh syiah,wahabbi,liberalis islam dan sebagainya penting untuk kebersamaan dan ijma' apa -apa keputusan para ulama dalam Majlis Ulama tersebut.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.