Thursday, October 3, 2013

PANAS!! Pemimpin AMK Kedah Bidas Guan Eng Kerana Cemarkan Imej Pakatan Rakyat,Cuba Heret ROS Ke Mahkamah


KUALA LUMPUR 2 Okt. - Tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengugut akan mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah sekiranya parti itu terus didesak dalam isu pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) hanya akan mencalarkan imej parti berkenaan.

 Setiausaha Kerja Angkatan Muda Keadilan (PKR) Kedah, Azhar Ramlee berkata, Guan Eng sepatutnya menutup mulut dan tidak membuat sebarang kenyataan secara terbuka berhubung konflik yang melanda parti itu.

 Katanya, tindakan tersebut juga tidak wajar memandangkan ROS merupakan jabatan yang bertanggungjawab terhadap hal-hal berkaitan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

 "Apa yang disuarakan oleh Guan Eng agak menyedihkan kerana sedikit sebanyak mencalarkan imej pakatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 Beliau mengulas tindakan Guan Eng pada Kongres Ke-16 DAP minggu lalu yang memberi amaran kepada ROS bahawa parti itu bersedia membawa isu membabitkan pemilihan CEC ke mahkamah jika terus didesak. Tambah Azhar, Guan Eng sepatutnya memberi tumpuan kepada lawannya iaitu Barisan Nasional (BN) dan bukannya mempersoalkan tindakan ROS.

 "Saya beranggap kenyataan beliau agak keterlaluan lebih-lebih lagi sebagai seorang yang berjawatan Ketua Menteri," jelasnya. Katanya, sikap Guan Eng yang sering menimbulkan kekecohan merupakan antara punca pakatan pembangkang kurang mendapat sokongan daripada orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

 "Hormati ROS jika mahu DAP dihormati dan hentikan campur tangan dalam parti rakan tetapi perbaiki parti sendiri iaitu DAP. "Guan Eng perlu sedar, sebelum ini Pas hilang sokongan undi Melayu ekoran beliau pernah membangkitkan isu kalimah Allah," katanya. 

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.