KUALA LUMPUR 4 Okt. - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digesa berundur dan meletakkan jawatan berikutan tidak mendapat undi popular ketika pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru-baru ini.
Bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, Guan Eng sebelum ini sering melemparkan tuduhan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak layak membentuk kerajaan Pusat kerana gagal mendapat undi popular sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Jadi Guan Eng juga didesak mengguna pakai prinsip undi popular tersebut dalam menentukan kepimpinan DAP selepas berakhirnya pemilihan CEC baru-baru ini.
"Jelas Guan Eng tidak layak menjadi Setiausaha Agung DAP kerana sepatutnya yang mendapat undi tertinggi pada pemilihan semula CEC lalu iaitu Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, paling layak menduduki jawatan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam CEC baru-baru ini, Chin Tong menduduki tempat pertama dengan mendapat 1,438 undi daripada 1,725 perwakilan. Guan Eng pula meskipun menduduki tempat kelima dengan 1,304 undi, dipilih semula sebagai Setiausaha Agung DAP.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin berkata, tindakan tersebut seharusnya diambil kerana Ketua Menteri itu sering mencanangkan undi popular yang kononnya diperolehi pembangkang PRU-13.
"Guan Eng perlu mempraktikkan apa yang sering dilaung-laungkan sebelum ini. Sepatutnya jawatan Setiausaha Agung diberikan kepada Chin Tong yang juga Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP sebab dia menang undi popular," katanya .
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.