Tuesday, November 12, 2013

Rektor UIAM Ikrar Akan Selesaikan Isu Syura Pemilihan Jawatankuasa MPP UIAM

Pertemuan Rektor bersama wakil-wakil persatuan mahasiswa dari setiap Kulliyah untuk menghantar memorandum isu syura pemilihan MPP UIAM
Gombak: Pemilihan jawatankuasa baru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi kampus induk Gombak akan diputuskan pada 19 November depan bagi memberi laluan kepada Majlis Konvokesyen UIAM.

Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan perwakilan pelajar, semalam bagi membincangkan isu pelantikan Kabinet MPP yang sepatutnya berlangsung awal bulan ini sebaik pilihan raya kampus diadakan 30 Oktober lalu.

“Pelbagai pandangan diutarakan wakil pelajar dan kami memutuskan mengadakan perbincangan sekali lagi Selasa depan, seterusnya melakukan pemilihan barisan kepimpinan MPP.

“Bagi saya, ini membabitkan hal dalaman UIAM dan perlu diselesaikan secara perbincangan keluarga tanpa perlu membabitkan penyerahan memorandum dan sebagainya,” katanya kepada media, semalam.

Sebelum ini, usaha sekumpulan pelajar yang menang pilihan raya kampus UIAM membentuk Kabinet MPP didakwa dihalang pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) diketuai Timbalan Rektor HEP Prof Datuk Dr Mizan Hitam.

Kesal kerana menganggap ia bertentangan dengan fasal 49 (5) Perlembagaan UIAM yang memberi kuasa melantik Presiden, Naib Presiden, Setiausaha dan Bendahari daripada kalangan anggota MPP yang terpilih dalam pilihan raya kampus, perwakilan pelajar itu mendakwa akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). bagi membantah campur tangan itu.

Bagi Zaleha, masalah itu tidak perlu membabitkan penyerahan memorandum kerana pihaknya bersedia berjumpa pelajar bagi menyelesaikan masalah berkaitan UIAM secara kekeluargaan.

“UIAM menolak konsep kepartian dalam kampus kerana menerapkan unsur kesatuan ummah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.