Sunday, February 15, 2015

Tok Pa Cadang BN Tidak Perlu Tanding DUN Chempaka,Tumpu Pemulihan Banjir Kelantan



KOTA BHARU 14 Feb. - Barisan Nasional (BN) tidak perlu meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka kerana tumpuan harus diberikan kepada kerja-kerja untuk membantu rakyat yang menderita akibat bah kuning.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berpendapat tindakan tersebut juga bagi mengelakkan perpecahan kerana pilihan raya lazimnya akan mewujudkan ketegangan sedangkan tumpuan utama adalah untuk membela nasib rakyat negeri ini selepas malapetaka tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara tersebut hanya pandangan peribadinya dan keputusan muktamad untuk meletakkan calon bergantung kepada hasil perbincangan dengan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa serta Badan Perhubungan UMNO negeri dan Presiden parti itu.

"Sebenarnya terlalu awal untuk bercakap tentang PRK kerana Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru saja meninggal dunia tetapi disebabkan ada pertanyaan maka saya hanya memberikan respon. Tak sesuai untuk kita bercakap tentang PRK kerana tidak menghormati keluarga disebabkan baru sehari Allahyarham meninggal dunia.

"Bagi saya secara peribadi, mungkin tidak perlu BN meletakkan calon sekiranya ada PRK kerana saya nak tumpu kepada kerja-kerja pemulihan banjir, ada banyak lagi tugas yang perlu dilakukan supaya dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini

Menurutnya, adalah elok mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat kerana apabila ada pilihan raya, maka akan ada pergeseran dan perbalahan, sekali gus merenggangkan perpaduan.

Tambahnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa dan Badan Perhubungan UMNO Negeri bagi membincangkan perkara tersebut pada minggu depan.

Penyandang kerusi tersebut, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas meninggal dunia pada malam kelmarin di rumahnya di Pulau Melaka di sini selepas disahkan menghidap kanser prostat tahap 4.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, bekas Menteri Besar itu menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd. Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Sementara itu, Ketua UNNO Bahagian Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman ketika dihubungi di sini berkata, pihaknya menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan parti untuk membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon ataupun tidak dalam PRK DUN Chempaka.

"Cuma bagi saya dan UMNO bahagian, kita akan tunggu arahan daripada pucuk pimpinan, kita tidak ada masalah (untuk bertanding atau pun tidak), kita buat sedikit-sebanyak persiapan seperti biasa tetapi kalau diputuskan oleh pucuk pimpinan kita akur dengan keputusan.

"Semalam secara kebetulan kita ada mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian yang dirancang sebelum kematian Allahyarham lagi, Kita ada bincang tentang perkara tersebut tetapi tidak fokus kerana tidak mahu mendahului parti," katanya.


No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.