Saturday, March 19, 2016

Politik Benci Bukan Lagi Strategi PAS


Dipetik daripada blog ArifPutera dalam artikel Memahami Pendekatan Politik PAS

Walaupun aku bukan orang yang begitu ambil berat soal politik, tidak bermaksud aku mengabaikan politik. Hanya saja kerana pembacaan politik aku yang lemah, aku cuba mengambil sikap tidak berlebihan untuk memperkatakan subjek yang aku tidak berapa faham. Cuma baru-baru ini, berikutan langkah PAS mengumumkan kemunculan Blok Ketiga dalam politik negara, ia menarik perhatian aku untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh pendekatan politik matang yang kini mula menjadi slogan tidak rasmi parti itu.

Sejak akhir-akhir ini, dalam beberapa bulan lepas selepas Tuan Guru Haji Hadi(Tuan Guru selepas ini) selaku presiden PAS menyebut bahawa mereka kini bersedia untuk membantu dan menasihati kerajaan, kemudian berikutan beberapa tindakan PAS yang dilihat tidak bersama-sama parti politik lain untuk menjatuhkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib, mereka menafsirkan bahawa PAS kini cenderung untuk bersama dan mendukung kerajaan yang diterajui Dato’ Seri Najib. Tentu saja hal ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh mereka berada dalam PAS.

Mereka yang sudah lama berjuang dalam PAS menegaskan bahawa PAS tidak pernah ada niat untuk bersama kerajaan, bahkan tetap dengan agenda untuk menumbangkan UMNO dan sekutu-kutunya. Tetapi apabila aku meneliti kenyataan-kenyataan terbaru(juga yang lama) Tuan Guru sama ada melalui akhbar mahupun media lainnya, aku merasakan PAS sudah berubah dan tidak lagi menjadikan agenda kekuasaan sebagai matlamat perjuangan mereka. PAS berusaha mencari alternatif lain dan ingin keluar daripada persepsi bahawa misi menegakkan Islam di negara ini sinonim dengan menjatuhkan Barisan Nasional.

Tidak hairan cadangan Kerajaan Perpaduan pernah terlontar daripada pihak Tuan Guru sendiri satu ketika dulu. Walaupun rata-rata ahli PAS cuba menafikan mengenai perkara ini, tetapi bukti-bukti terhadap perkara ini banyak boleh kita temukan. Ini zaman era terbuka. Tiada perkara yang dapat kita sembunyi. Dan berikutan kenyataan-kenyataan Tuan Guru mengenai menasihati dan membantu kerajaan, ini mengindikasikan bahawa PAS sedang keluar daripada perjuangan yang berorientasikan kuasa kepada perjuangan yang berorientasikan dakwah.

Kata-kata Tuan Guru dalam pengumuman Blok Politik Ketiga tempoh hari:

“Kita memilih pendekatan membangkang tidak melulu, membangkang secara nasihat. Apa yang baik kerajaan buat kita sokong, yang tak baik kita nasihat. Itu langkah kita.”

Perubahan yang berlaku pada PAS kini mungkin kerana mereka telah menyedari bahawa dasar perjuangan yang mereka bawa selama ini hanya dipicu oleh rasa benci kepada kerajaan. Dan perjuangan seperti ini tidak dapat disebut sebagai dakwah sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Said Ramadan al-Buti dalam kritikannya terhadap gerakan Islam. Ini kerana kata al-Buti, dakwah yang cuba dibawa melalui politik kepartian hanya menyebabkan kegagalan dalam menyeru mereka yang berada dalam parti lawan. Ini disebabkan hubungan antara parti dengan parti yang lain adalah persaingan antara satu sama lain.

Sememangnya kalau kita lihat PAS dalam beberapa dekad yang lepas, apa yang kita temukan pada mereka cuma politik benci. PAS waktu dulu sangat anti kepada UMNO. Pada mereka, UMNO bagaikan musuh yang perlu dikambus habis-habisan tanpa tersisa. Walaupun yang berada dalam UMNO itu majoritinya Melayu-Muslim, yakni saudara seagama mereka juga, kebencian PAS kepada UMNO sangat besar dan begitu ketara. Sudah tentu ini sangat lari daripada dasar dakwah itu sendiri, bahkan jauh daripada konsep rahmah yang ada dalam Islam. Sepatutnya kita membawa semua umat Islam menuju hakikat sejahtera yang dicitakan, bukan meminggirkan sebahagian daripada mereka.

Melihat pendekatan baru yang dibawa PAS-IKATAN ini, secara peribadi aku berasa teruja untuk menunggu bagaimana hasilnya nanti. Ini kerana PAS mula memahami bahawa dalam bergerak ke arah misi menegakkan Islam yang mereka cita-citakan selama ini, hal itu tidak patut dipicu oleh rasa benci terhadap parti lawan dan keinginan untuk merampas tampuk pemerintahan mereka. Sebaliknya tugas utama PAS sebagai parti Islam adalah menyeru parti lawan untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Dan sekiranya nasihat dan seruan itu diabaikan, baru mereka bergerak ke arah mengganti pemerintah yang sedia ada.

Ketika ini kita akan lihat PAS tidak lagi sepenuhnya berdiri sebagai parti politik yang cita-cita utama mereka duduk di tampuk pemerintahan, tetapi mereka sekarang adalah gerakan dakwah yang menjadikan identiti politik sebagai landasan dakwah mereka.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.