Thursday, September 22, 2011

"Bapa Kencing Berdiri Anak Kencing Berlari"


KUALA LUMPUR  22 Sept. – “Kalau bapa kencing berdiri, anak pula kencing berlari”…  Begitulah perumpamaan yang tepat berhubung tindakan Ahmad Saiful Islam, anak kepada Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu yang menuduh pihak Polis sebagai dalang dalam kejadian cubaan membakar rumah mereka baru-baru ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata pemikiran berkenaan bukanlah mengejutkan kerana jika Mat Sabu berjaya mengelirukan penyokongnya, apatah lagi anaknya yang sudah pasti akan mengikut jejak ayahnya.
“Pada saya benda itu memang berada di dalam keluarga dia… kalau ada rakyat boleh percaya apatah lagi seorang anak yang mungkin beranggapan bahawa ayahnya berada di pihak yang benar dan ayahnya dianiaya dan kemarahan anak itu disebabkan ajaran ayah.
“Banyak perkara ini berlaku bila anak mengikut jejak orang tuanya kerana pada mereka itu yang betul. Jadi saya tidak terkejut kalau seorang anak berperwatakan sama macam ayahnya dalam soal sebegini,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan anak lelaki Mat Sabu yang menuduh polis sebagai dalang di dalam kejadian cubaan membakar rumah mereka baru-baru ini.
Razali yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia seterusnya menambah kenyataan seumpama itu jelas hanya untuk menyerang pihak Polis dalam usaha merendahkan institusi berkenaan yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini.
“Saya rasa tidak masuk akal mengaitkan Polis dengan insiden tersebut. Polis ada banyak kerja lain daripada fikirkan bagaimana untuk bakar rumah orang. Tugas polis menyelamat  dan menghalang segala bentuk jenayah.
“Dan tuduhan tidak ada bukti ini pada saya sangat serius perlu kita lihat secara mendalam bagaimana kita dapat sekat kenyataan seumpama ini daripada berulang. Tindakan ini berniat jahat yang bertujuan untuk mengalihkan pandangan masyarakat atas isu sebenar disamping merosakkan imej institusi polis itu sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau melihat tindakan Mat Sabu yang cuba mengaitkan UMNO berhubung kontroversi Bukit Kepong yang ditimbulkan  adalah bertujuan untuk mengalih tumpuan rakyat terhadap perkara yang sebenarnya.
“Kita diajar agar  jangan menipu dan kita jangan buat salah. Punca kepada masalah ini adalah apabila mereka menipu dan mereka cuba menutup penipuan berkenaan, maka lebih banyak penipuan akan berlaku.
“Sepatutnya kita buat salah kita mengaku kita salah, minta maaf dan perbaiki kesalahan tetapi apa yang mereka cuba lakukan adalah untuk membetulkan perkara yang salah dan sebab itu saya tidak terkejut akan ada banyak lagi  perkara baru yang bersalahan terpaksa diwujudkan semata-mata untuk tutup penipuan pertama dan kesalahan yang mereka lakukan.
“Ini yang kita risaukan kerana mereka akan membawa satu penipuan yang berpanjangan kerana untuk tegakkan benang yang basah…. sebab itu kita dididik  jangan menipu walau sekali kerana kita akan terus menipu untuk tutup penipuan yang awal tadi,“ ujarnya.
Berhubung isu Jalur Gemilang yang menjadi kontroversi selepas ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan atas pandangannya yang mahu menukar bendera Malaysia, Razali yang juga Ahli parlimen Muar melihat musuh dalam selimut mula menunjukkan wajahnya yang sebenar.
“Saya rasa ini satu pengajaran untuk kita dan saya suka bila mereka menunjukkan warna mereka yang sebenar. Mereka bukan pemimpin dalam negara kita dan mereka pemimpin orang luar.
“Pemimpin seumpama ini adalah pemimpin yang cuba menjajah negara kita dalam keadaan dulu mereka ini musuh dalam selimut, tetapi hari ini kita dah nampak secara terang bahawa mereka adalah musuh kepada negara yang tidak mahu terima apa jua tentang kedaulatan kita dan ingin menukar semuanya.
“Maka  kita sekali lagi  berhadapan dengan satu kumpulan yang berusaha untuk menajajah kita. Ini satu perkara yang menjadi cabaran tetapi sebenarnya lebih mudah kerana dulu dia bersama dengan kita tetapi hari ini kita sudah nampak warnanya dan saya percaya ada ramai lagi pemimpin seumpama ini dan harap rakyat berhati-hati agar negara tidak diubah dan dijajah oleh orang luar,“ katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.