Monday, October 24, 2011

UMNO Pulau Pinang Saman Guan Eng RM 30 Juta


KUALA LUMPUR, 24 Okt – UMNO Pulau Pinang memfailkan saman terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebanyak RM30 juta atas dua dakwaan iaitu menuduh UMNO Pulau Pinang terlibat dalam demonstrasi ganas di negeri tersebut pada 1 Julai lalu dan menuduh UMNO Pulau Pinang terlibat dalam kebakaran yang membabitkan pejabat DAP.
Saman tersebut difailkan  di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini melalui Tetuan Jahaberdeen & Co.
Selain Lim yang juga Setiausaha DAP, turut dinamakan sebagai defendan ialah Parti Keadilan Rakyat selaku pemilik laman berita elektronik Keadilan Daily dan akhbar Suara Keadilan; Segmen Fleksibel Sdn Bhd yang merupakan syarikat penerbitan Keadilan Daily dan Suara Keadilan; dan ketua penyuntingnya, Fazallah Pit.
Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, UMNO Pulau Pinang telah memberi peluang kepada Guan Eng untuk memohon maaf dan menarik balik kata-katanya namun Guan Eng secara angkuh telah menolak permintaan tersebut malah telah mencabar agar UMNO Pulau Pinang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
“Kita telah memberi ruang kepadanya tetapi langsung tidak diendahkan. Sekarang kita tidak mahu lagi bertolak ansur dan berdiam diri dengan sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab Lim Guan Eng. Saman malu ini juga difailkan terhadap Parti DAP dan dua orang pekerja Suara Keadilan.
“Namun begitu, UMNO Pulang Pinang tidak berhasrat untuk menyaman atas jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana kita menghormati jawatan tersebut. Begitu juga kita tidak menyaman kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana sekiranya UMNO Pulau Pinang menang dalam tuntutan saman ini, wang berjumlah RM30 juta itu akan disalurkan kepada rakyat negeri ini jadi untuk apa kita saman Kerajaan Negeri,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Beliau berkata, UMNO Pulau Pinang tidak berhasrat untuk mengambil pendekatan ‘rennaisance’ yang menjadi amalan oleh DAP di mana mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadapi sikap kritis lawan politik mereka, namun kali ini tindakan tegas terpaksa diambil agar Guan Eng tidak lagi mudah membuat tohmahan tidak berasas terhadap UMNO Pulau Pinang.
Tegasnya lagi, UMNO Pulau Pinang berpendapat Guan Eng sebenarnya terperangkap dalam sindrom politik kotor.
Sebab itulah kata beliau Guan Eng sering menyalahkan UMNO dalam apa sahaja yang terjadi di Pulau Pinang.
“Sekali lagi ianya terbukti apabila Guan Eng menyalahkan UMNO terlibat dalam penyebaran berita berkaitan isu moral membabitkan anak lelakinya.
“Adalah tidak adil untuk menyalahkan UMNO dalam setiap perkara yang tidak menyebelahinya. Guan Eng perlu berhenti melamparkan tuduhan liar dan tohmahan terhadap lawan politiknya. Jangan buat tuduhan melulu dan inilah akibat daripada keceluparan mulut Guan Eng. Dia perlu berhadapan dengan saman ini,” ujarnya lagi

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.