Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid, ketika ditemui di tapak rumahnya yang hangus ketika umat Islam sedang solat Tarawih, malam kelmarin. Kejadian yang berlaku pada jam 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah berkenaan.
Kata Rosol, ketika kejadian kesemua ahli keluarganya tiada di rumah kerana menunaikan solat Tarawih di Masjid Kampung Gaung manakala beliau berada di Wakaf Tapai, Marang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu majlis dan menunaikan solat Tarawih di Kuala Terengganu.
Kebakaran tersebut disedari isterinya, Toh Puan Halipah Ahmad yang ternampak kepulan asap dari bahagian dapur rumah sewaktu pulang dari menunaikan solat Tarawih lalu menghubunginya memaklumkan kejadian berkenaan.
“Sebelum itu, isteri menghubungi saya memberitahu ingin ke Kampung Menerong menziarahi orang meninggal. Namun tidak berapa lama kemudian, sekali lagi beliau menelefon memberitahu rumah kami terbakar. "Setelah buka pintu, dia lihat api marak dari ruang dapur dan asap berkepul-kepul. “Saya arahkan dia segera meninggalkan rumah dan jangan hiraukan apa-apa kerana khuatir akan keselamatannya.
Nasib baik, ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana empat anak saya berada di rumah mentua di Kampung Gaung, manakala dua lagi di asrama," katanya. Dikunjungi rakan “Rumah ini saya beli daripada pemilik asal pada tahun 2001 lalu dengan harga RM160,000. Kini, dianggarkan harganya mungkin mencecah RM300,000.
Walaupun diuji dengan ujian begini, namun saya tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” katanya kepada pemberita, di sini, malam kelmarin. Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian mendapati musibah yang menimpa Adun Ajil ini menarik perhatian penduduk apabila beliau dan keluarga tidak putus-putus menerima kunjungan penduduk termasuk Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
Malah, rakan seperjuangan turut kelihatan Adun Bukit Besi, Dungun, Datuk Din Adam; Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail dan Yang Dipertua Dun, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Tidak sangka padam kebakaran rumah abang
Sementara itu, anggota bomba dan penyelamat, Kamaruzaman Wahid, berkata dia tidak menyangka terlibat dalam operasi memadam kebakaran di rumah abangnya sendiri.
"Saya tidak sangka operasi malam ini (malam kelmarin) membabitkan rumah abang, saya sangat terkejut dan tergamam seketika bila sampai di tempat kejadian," katanya. Namun kata Kamaruzaman, dia terpaksa menahan sebak dan sedaya upaya memadam api yang membakar rumah abang sulungnya itu.
"Saya bersyukur kerana kesemua ahli keluarga Abang Long selamat walaupun rumah musnah dalam kebakaran, saya harap Abang Long tabah hadapi ujian ini," katanya.
Api marak dengan cepat
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zazuli Badru ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian tersebut jam 10.19 malam.
Menurutnya, dengan menaiki sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan kemudiannya dibantu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai. “Api marak dengan cepat dan memusnahkan 90 peratus struktur rumah.
Kebakaran dapat dikawal jam 11 malam namun punca kejadian dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya-SH
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.