TANPA niat untuk memburuk dan menjatuhkan kredibiliti individu tertentu apa lagi berdendam, Tan Sri Annuar Musa menggesa Datuk Azzuddin Ahmad mempercepatkan proses peletakan jawatannya dalam badan induk bola sepak itu.
Menurut Annuar, seorang Setiausaha Agung FAM yang tidak tahu memainkan peranan serta hilang kewibawaan perlu lah meletak jawatan dan memberi peluang kepada pemimpin baru. Hal ini katanya penting bagi memastikan kepimpinan baru boleh membawa idea-idea yang lebih segar dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan arena bola sepak negara.
“Azzuddin merupakan Setiausaha Agung yang hanya bertanggungjawab kepada Presiden FAM sahaja, tetapi apa peranannya di antara ahli gabungan dan Exco? “Ikhlas saya cakap, Azzuddin tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ahli-ahli gabungan dan Exco, sebab itu beliau gagal memainkan peranannya sebagai urus setia yang baik.
“Dan disebabkan itu juga beliau sudah hilang kewibawaan dalam menyelesaikan banyak perkara,” kata Annuar kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas Majlis Taklimat kepada ahli-ahli Ðewan Rakyat Parlimen ke-13, semalam.
Apa yang diperkatakan Annuar itu reaksi mengenai kenyataan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan meneliti laporan Azzuddin sebelum mengambil tindakan terhadap bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang terus mengkritik badan induk itu.
Menurut Annuar, berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, sebuah urus setia yang akan menentukan sama ada perbicaraan akan dilakukan ataupun tidak. Bagaimanapun, disebabkan urus setia FAM yang diterajui oleh Azzuddin sudah hilang kewibawaan, maka situasi ini berlaku dalam bola sepak negara.
“Seperti saya cakap masalah dalam FAM adalah berpunca daripada Azzuddin, mereka sikap bukan memikirkan apa orang kata, bila teguran sahaja di fikiran mereka hanya memikirkan untuk mengambil tindakan. “Orang semua memandang bagaimana dia mengambil tindakan yang tidak konsisten dalam memilih untuk perbicaraan. Saya melihat perbicaraan nampaknya dibuat secara selektif, ada masa cepat ambil tindakan, ada masa tak pula ambil tindakan.
“... sebab itu saya rasa lebih elok Azzuddin berhenti daripada FAM supaya lebih cepat dia berpindah ke AFF dan mungkin di situ akan membawa satu harapan baru apabila FAM melantik setiausaha agung baru,” jelas Annuar.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.