Tuesday, February 10, 2015

PAS Kian Bergolak ,Hanipa Maidin Dipukul Dalam Mesyuarat PAS Pusat


Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin dipukul dua kali di belakang oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam kekecohan yang berlaku semasa mesyuarat parti Islam itu semalam, menurut sumber parti.

Sumber itu memberitahu, sehari selepas kejadian itu, Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang, masih terasa sakit kesan pukulan tangan itu.

Segalanya bermula apabila Hanipa bertanya kepada pengerusi mesyuarat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai tindakan parti terhadap pihak yang berdemonstrasi dan membuat pelbagai tuduhan terhadap Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Sumber mengatakan, selepas Hadi menjawab beliau tidak tahu mengenai kejadian yang berlaku di luar ibu pejabat PAS semalam, Hanipa berkata: "Inilah masalahnya apabila presiden lemah dan tidak menjadi presiden kepada semua." Kenyataan Hanipa menyebabkan para penyokong presiden termasuk Dr Zuhdi Marzuki, Dr Ridzuan Mohd Nor dan Nasrudin Hassan marah lalu menuntutnya menarik balik dan meminta maaf, kata sumber.

Sumber memberitahu, Zuhdi dikatakan menepuk meja dengan kuat kerana marah kepada Hanipa.

Selepas itulah, Razman dikatakan pergi ke arah Hanipa dan memukul belakangnya sebanyak dua kali, kata sumber.

AJK Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, yang juga pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat dan ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, kemudiannya dikatakan meminta Zuhdi keluar meninggalkan mesyuarat itu.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya dua pengguna media sosial yang rapat dengan PAS yang menggunakan nama Penarik Beca dan Zulhazmi Shariff, calon Ketua Pemuda PAS dalam muktamar lepas, menulis mengenai kejadian tersebut dalam laman Facebook dan blog mereka.

Semalam, sekumpulan ahli PAS berhimpun di hadapan ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, menuduh Dr Hatta, yang merupakan pengarah pilihan raya, sebagai dalang usaha menggulingkan Hadi.

Kumpulan diketuai Ketua Pemuda PAS Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim itu menuntut Dr Hatta meletak jawatan kerana cuba menggulingkan presiden.

Dengan menaikkan tulisan "Pecat Hatta dan konco-konco" dan "Kami dikhianati Hatta Ramli", mereka berhimpun menyambut ketibaan pimpinan PAS yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa pusat semalam. – 9 Februari, 2015.-Malaysian Insider

Komentar KP : Pergolakan dalam PAS kian meruncing kebelakangan ini dan berita yang dilaporkan ini menjadi bukti bahawa memang wujud kelompok yang cuba menjatuhkan Presiden PAS dari dalam. Kritikan dan tohmahan jahat segelintir pimpinan PAS terhadap Presiden PAS sebenarnya sudah bermula lama lagi dan kian terserlah baru-baru ini melalui printscreen whatsapp group akan agenda dan rancangan pimpinan PAS yang didakwa diketuai oleh Hatta Ramli  dan konco-konconya.

Dr. Zuhdi Marzuki yang dikenali sebagai orang yang pro Ulama di dalam PAS pasti sudah menghidu lama parasit-parasit ini yang pernah disebut oleh Dr. Hassan Ali yang mana akhirnya mereka ini akan meruntuh dan memecahbelahkan  PAS daripada dalam demi perjuangan wala' mereka terhadap Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.


No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan nama anda atau nama samaran dalam komen supaya memudahkan respon dalam komen. Sebarang Komen yg Keterlaluan saya Tidak Bertanggungjawab.